NikMat SiHaT

Bismillah…

Amalkan permakanan yang seimbang

Kenapa ramai orang yang mengorbankan kesihatan mereka demi mengejar kekayaan, kemudian mereka membelanjakan kekayaan mereka untuk mengembalikan kesihatan? Kenapa kita tidak menghargai nikmat yang diberikan? Pelik kan, tetapi itulah hakikatnya… seorang manusia akan menghargai bila ia hilang.

Sekiranya kita mempunyai seekor itik yang bertelur emas, sudah tentu itik itu kita akan menjaganya dengan baik bagai menatang minyak yang penuh. Begitu juga dengan mekanik atau pengurus kilang, mereka akan menjaga peralatan dan jentera agar berfungsi dengan baik bagi memastikan pengeluaran yang berkualiti. Tapi bagaimana dengan jentera yang paling hebat di dunia, sumber utama kepada pengeluaran kita iaitu badan kita? Adakah kita menjaganya dengan baik agar ia dapat berfungsi dengan baik dan memberi hasil yang maximum?

Tiada yang lebih bernilai dari kesihatan. Kita sedia maklum tentang semua hal ini, tapi kita agak berkeberatan untuk mengekalkan kesihatan kita pada tahap yang lebih optimum. Kesihatan optimum bermaksud hidup bertenaga serta bebas dari gejala yang menyukarkan dan juga penyakit kronik. Kita adalah seorang yang gagal bila kita mengabaikan kesihatan kita. Demi untuk mengejar kejayaan dan keseronokkan, kita sering tidak makan atau mengambil makanan yang tak seimbang. Kita juga tidak mengambil pemakanan tambahan untuk menampung kekurangan akibat pemakanan yang tidak seimbang dan terlibat dengan aktiviti tidak sihat. Kita tidak tidur dengan secukupnya, tidak bersenam… semuanya demi mengejar kejayaan dan ‘enjoy’ semata-mata.

Mari kita hayati bersama pepatah Peranchis yang berbunyi, “Seorang yang sihat adalah seorang yang berjaya”. Seperti kita semua sedia maklum, bahawa kita akan menghargai seseorang atau sesuatu apabila kita kehilangannya. Kita akan mula menghargai kesihatan kita apabila kita sudah kehilangannya. Sekiranya umur kita sudah melampaui umur 40 tahun terutamanya, eloklah memberi perhatian kepada kesihatan diri. Sudah banyak sistem badan yang rosak akibat gaya hidup yang tidak sihat seperti diet yang tidak seimbang dan mengamalkan aktiviti merokok. Tanpa kesihatan yang baik, kita tidak mampu melakukan apa-apa pekerjaan mahupun aktiviti kegemaran. Jadi, sama-samalah kita menghargai nikmatKurniaan Ilahi.

Harga Sebuah Cinta

Bismillah....

Layarkanlah bahtera kasih keranaNya

Berkenalan dengannya pasti membuatkan seorang insan berasa dirinya agung,anugerah yang merupakan lengkapan azali untuk sebuah kehidupan. Dengan cinta,kita belajar mengenal perasaan, kita belajar mendidik jiwa, kita belajar menahan sabar. Cinta juga membawa manusia kepada sebuah kemuncak keindahan. Ketinggian taraf sebuah cinta tiada bandingan. Kita berkenalan dengan cinta kerana ketentuanNya. Kita dianugerahkan dengan nilai sebuah kasih-sayang juga kerana telah ditetapkan oleh Nya.

Bermula dengan perasaan kasih, menyemai sebuah ikatan ukhwah, dan seterusnya menguntumkan bunga-bunga cinta. Oh, alangkah indahnya. Tapi, kadangkala cinta membuatkan kita lalai, lupa pada hakikat sebenar makna sebuah cinta. Kita lelap dipangkuan dan belaian cinta. Kita tewas dengan alunan-alunan rentak kemungkaran. Semuanya berlaku kerana kita belum punya Cinta Yang Maha Esa. Cinta abadi bukan letaknya pada rangkulan cinta manusia, juga bukan letaknya pada hebat cinta seorang insan. Tapi tunduknya kita pada keihklasan sebuah ikatan yang ditengah-tengahnya terletak sebuah cinta yang paling agung. Hormatilah cinta kerana itu adalah anugerah yang paling indah yang telah dikurniakan oleh Allah kepada hambaNya.

Muliakan cinta yang kita miliki biar menjadi sebuah hamparan indah untuk menjadi sokongan di kala melalui jalan-jalan kehidupan. Jangan jadikan diri kita hamba kepada sebuah cinta. Jadikanlah cinta itu sahabat kepada seorang manusia yang bergelar si pencinta. Sentiasalah berdoa agar cinta yang kita miliki ini mempuyai harga yang paling tinggi nilainya di sisi Allah. Biarkan ia bergemerlapan di waktu kegelapan. Tapi awas,walau sehebat manapun cinta manusia, percayalah bahawa cinta yang lebih agung dari cinta-cinta lain adalah apabila kita kecewa kerana cinta, kita luahkan kekecewaan kita kepada si pendengar yang setia iaitu Allah. Allah adalah tuan empunya segala cinta. Dia juga tidak akan abaikan semua hamba-hambaNya.