Ilmu tanpa amalan…..

Bismillah… Bersyukur ke hadrat Illahi, kerana limpah kurnianya saya masih lagi dapat berkongsi dengan pembaca-pembaca  yang budiman…. InsyaAllah…
Ilmu dan amal ibarat dua permata yang berharga. Tanpa ilmu pincanglah amal dan tanpa amal sia-sialah ilmu.

    Pujangga ada menyebut gersang bumi tanpa hujan, gersang minda tanpa ilmu, gersang jiwa tanpa amal, gersang hati kerana iman.’ Adakah kita bertanya pada diri sendiri, “Kenapakah kita wajib menuntut ilmu?” dan “kenapakah perlunya kita belajar bersungguh-sungguh?” Adakah mencukupi atau tepat dengan mengatakan kepada diri sendiri bahawa "Aku mesti belajar untuk lulus peperiksaan dengan cemerlang" atau "Kalau aku nak jadi orang yang ada kerja yang elok dan banyak duit, aku mestilah rajin ke sekolah atau kelas dan belajar rajin-rajin.” Jawapan seperti ini adalah kurang tepat  kerana hanya bermatlamatkan kecemerlangan dalam peperiksaan atau sebagai batu loncatan untuk berjaya mendapat pekerjaan pada masa hadapan. Kita ibarat telah dibudayakan untuk terlalu mengejar kedudukan nombor satu dalam kelas atau ‘dean list’ setiap semester atau deretan ‘A’ semaksimum mungkin dalam peperiksaan, ia menjadikan mereka tidak berfikir lebih jauh daripada tujuan berkenaan.
        Kita harus faham bahawa pergi ke kelas dan menuntut ilmu bukanlah sekadar menjadi rutin kehidupan harian, bahkan ia adalah salah satu kewajipan yang mesti dikerjakan oleh setiap orang Islam. Ia bertepatan dengan sabda Rasulullah, ‘Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap Muslim.’ Kita wajib memahami bahawa menuntut ilmu juga diandaikan seperti berjuang menegakkan hak diri dan berjihad ke jalan Allah seperti mana hadis Rasulullah,Barang siapa keluar untuk mencari ilmu maka ia berada di jalan Allah sampailah ia kembali (Riwayat al-Tirmizi).