Harga Sebuah Cinta

Bismillah....

Layarkanlah bahtera kasih keranaNya

Berkenalan dengannya pasti membuatkan seorang insan berasa dirinya agung,anugerah yang merupakan lengkapan azali untuk sebuah kehidupan. Dengan cinta,kita belajar mengenal perasaan, kita belajar mendidik jiwa, kita belajar menahan sabar. Cinta juga membawa manusia kepada sebuah kemuncak keindahan. Ketinggian taraf sebuah cinta tiada bandingan. Kita berkenalan dengan cinta kerana ketentuanNya. Kita dianugerahkan dengan nilai sebuah kasih-sayang juga kerana telah ditetapkan oleh Nya.

Bermula dengan perasaan kasih, menyemai sebuah ikatan ukhwah, dan seterusnya menguntumkan bunga-bunga cinta. Oh, alangkah indahnya. Tapi, kadangkala cinta membuatkan kita lalai, lupa pada hakikat sebenar makna sebuah cinta. Kita lelap dipangkuan dan belaian cinta. Kita tewas dengan alunan-alunan rentak kemungkaran. Semuanya berlaku kerana kita belum punya Cinta Yang Maha Esa. Cinta abadi bukan letaknya pada rangkulan cinta manusia, juga bukan letaknya pada hebat cinta seorang insan. Tapi tunduknya kita pada keihklasan sebuah ikatan yang ditengah-tengahnya terletak sebuah cinta yang paling agung. Hormatilah cinta kerana itu adalah anugerah yang paling indah yang telah dikurniakan oleh Allah kepada hambaNya.

Muliakan cinta yang kita miliki biar menjadi sebuah hamparan indah untuk menjadi sokongan di kala melalui jalan-jalan kehidupan. Jangan jadikan diri kita hamba kepada sebuah cinta. Jadikanlah cinta itu sahabat kepada seorang manusia yang bergelar si pencinta. Sentiasalah berdoa agar cinta yang kita miliki ini mempuyai harga yang paling tinggi nilainya di sisi Allah. Biarkan ia bergemerlapan di waktu kegelapan. Tapi awas,walau sehebat manapun cinta manusia, percayalah bahawa cinta yang lebih agung dari cinta-cinta lain adalah apabila kita kecewa kerana cinta, kita luahkan kekecewaan kita kepada si pendengar yang setia iaitu Allah. Allah adalah tuan empunya segala cinta. Dia juga tidak akan abaikan semua hamba-hambaNya.

Nikmat Cinta…..


Bismillah.....

Cinta kepada dunia adalah gerbang kejahatan.

Cinta adalah anugerah Allah yang suci dan murni.. Oleh itu, jangan jadikan ia terlalu murah dengan diberikan kepada orang yang tidak berhak.. Cinta yang berlandaskan iman, akan membawa seseorang kepada kemuliaan… Sebaliknya cinta yang tidak berlandaskan Iman, akan menjatuhkan seseorang ke jurang kehinaan… Selain itu, Iman tidak akan terasa “lazat” tanpa cinta dan sebaliknya, cinta juga tidak kan lazat tanpa “Iman” … Sedarilah bahawa cinta adalah ujian yang paling besar yang mampu menguji seseorang dalam melewati usia…. Oleh itu, salurkanlah rasa cinta itu pada jalan yang benar dan jangan kotori kesucian cinta itu mengikut hawa nafsu semata-mata, sehingga menyebabkan cintaMu kepada insan lain melebihi cinta terhadap pencipta mu.. Jadikanlah cinta kepadanya adalah yang utama.. Kelak, cinta sejati akan kita temui.. InsyaAllah…

Sepanjang hayat kehidupan kita ini umpama satu perjalanan yang menuju matlamat jauh. Dipenuhi berbagai suasana, ada kalanya mudah adakalanya susah. Beserta onak, ranjau dan duri. Berhadapan pula dengan cabaran, rintangan juga halangan. Namun semua itu sudah menjadi lumrah kehidupan. Untuk itu kita memerlukan bekalan yang mencukupi dan mampu melindungi diri kita dari tergelincir ataupun tersesat di pertengahan jalan. Juga umpama memandu kereta dalam perjalanan jauh, kita perlu memastikan tidak kehabisan minyak secara tiba-tiba. Apabila terasa lesu, perlu berhenti rehat sebentar serta menambahkan bekalan untuk kenderaan dan diri sendiri.

Justeru itu kita berbicara tentang ini untuk menyegarkan jiwa yang sentiasa diuji dengan berbagai ragam suasana. Semoga dengannya kita terpelihara dari sebarang bentuk penyelewengan dan kesilapan. Kini dengan izin Allah kita sampai kepada bekalan yang Mensyukuri Nikmat, Menyubur Cinta Ilahi.Janganlah kita sesekali mencemari cinta yang suci. Jagalah nilai cinta yang dianugerah Ilahi.