SyUkUriLah

Bismillah…

Seluruh pujian khusus buat Allah yang empunya segala kemuliaan dan keagungan. Selawat dan salam buat arRasul Muhammad s.a.w serta para sahabat dan seisi keluarga baginda. Juga seluruh pendukung dan pencinta deen Islam sehingga datang hari perhitungan.

Bersyukurlah di atas Kurniaan Ilahi.

Setiap kali seseorang memberikan kita sesuatu barang, begitu mudah kita lafazkan ucapan terima kasih apatah lagi jika yang diberikan kepada kita sesuatu yang kita sukai atau sangat diperlukan, tidak henti-henti kita luahkan penghargaan. Tetapi, tidak sedarkah kita bahawa Allah Yang Maha Pencipta, yang mengatur dan mentadbir seluruh alam ini dengan menyediakan berbagai nikmat yang tidak terhitung, tetapi hanya sekelumit ungkapan pujian yang dicurahkan. Ketika kita lalai, tergamak kita merasakan nikmat-nikmat tersebut kita perolehi hasil keupayaan ilmu kita sendiri. Astaghfirullah! Sekarang sudah tiba masanya kita membina kesedaran yang berterusan sepanjang hayat semoga kita sentiasa bergerak di landasan kebenaran yang akan membawa kita sampai kepada matlamat keredhaan Allah semasa di dunia mahupun di akhirat kelak.

Demi sesungguhnya! Allah reda akan orang-orang Yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (Wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa Yang sedia diketahuiNya tentang (kebenaran iman dan taat setia) Yang ada Dalam hati mereka, lalu ia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya (Q.S 48:18).

Kita perlu bersyukur supaya berkekalan nikmat yang Allah kurniakan. Jika tidak bersyukur nikmat itu akan hilang.Supaya nikmat yang kita perolehi akan bertambah.Sesungguhnya dengan bersyukur, kenikmatan akan kekal dan tetap menjadi milik kita. Dengan sentiasa bersyukur, nikmat akan bertambah kerana syukur merupakan pengikat nikmat. Pada hakikatnya bersyukur adalah menjaga diri dari perbuatan maksiat, zahir maupun batin. Secara sembunyi maupun secara terang-terangan. Syukur itu berhubung dengan hati, lidah dan anggota badan.

Dengan hati; berbuat baik kepada semua makhluk. Dengan lidah; melahirkan kesyukuran dengan puji-pujian. Sabda Rasulullah s.a.w kepada seorang lelaki; “Bagaimana engkau pagi ini?” Lelaki itu menjawab; “”Aku baik-baik saja”. Lalu Rasulullah mengulangi pertanyaan itu sehingga tiga kali, hingga lelaki itu menjawab; “Baik-baik saja. Aku panjatkan puji dan syukur kepada Allah”. Lalu Rasulullah berkata: “Inilah jawapan yang aku maksudkan dari kamu”. Dengan anggota badan ; menggunakan nikmaat untuk taat kepada Allah. Dengan mata ; menutupi cela orang Muslim lain yang terlihat oleh mata. Dengan telinga ; menjauhi dari mendengar perkara buruk. Juga dengan lain perkataan, antara tanda terbina rasa syukur ialah ketaatan dan kepatuhan melaksanakan perintah serta menjauhi larangan Yang Maha Berkuasa.

Antara hasil yang diperolehi dari mensyukuri nikmat-nikmat Allah. Setiap usaha dan pemerhatian kita terhadap nikmat-nimat Allah tidak akan sia-sia, ianya akan menimbulkan kesan mendalam kepada watak, tingkah laku dan jiwa kita.

Hati dan jiwa kita menjadi lembut dan mudah merasai dhaifnya diri di hadapan Allah juga mudah meletakkan pergantungan kepada Allah. Menyedari Islam sebagai nikmat terbesar yang disertai ukhwah Islamiah, akan dapat menghindarkan hasad dengki dan permusuhan. Dengan itu hidup sesama umat Islam berlangsung dalam suasana harmoni.Menyedari diri kita dipenuhi segala macam nikmat dan kurnia Allah, segenap anggota badan mudah terdorong melakukan ketaatan di samping menjauhi maksiat.

Dengan menyedari pentingnya hakikat mensyukuri nikmat tersebut, akan memperdalamkan lagi makrifatullah kita terhadap Yang Maha Pencipta. Tersingkap rahsia belas ikhsan serta melimpah ruahnya nikmat Allah kepada seluruh hamba-hambaNya. Maka akan terserlahlah betapa besarnya hajat kita kepada Allah setelah menyedari fakirnya diri kita. Dengan ini akan bertambah subur cinta Ilahi yang berputik di hati. Inilah juga bekalan yang dapat mendorong kita mengagungkan Allah. MengkagumiNya, menyembahNya dan mentaati titah perintahNya serta bersyukur kepadaNya. Hasilnya kita akan beribadah bersungguh-sungguh dan dengan sebaik-baiknya demi memperolehi keredhaanNya. Inilah bekalan yang kita hajati sepanjang perjalannan hidup yang bermatlamatkan kejayaan hakiki dan kebahgiaan akhirat.

Wassalam.

0 ulasan:

Catat Ulasan